Ahad, 31 Oktober 2010

Pembiakan Pokok Nangka

pembiakan-nangka
Dahulu nangka di tanam dari biji benih terpilih dari buah yang difikirkan baik mutunya. Pokok yang ditanam dengan biji memerlukan masa yang lebih lama untuk berbuah iaitu lebih kurang 4-5 tahun. Pokok cantuman pula mula berbuah pada tahun ke 2-3 dan hasil mula stabil pada tahun ke-7 dan seterusnya..
Ada beberapa cara pembiakan tampang yang boleh digunakan bagi tanaman nangka. Kelebihan menggunakan bahan tanaman dari pokok-pokok yang dihasilkan dari cara pembiakan tampang ialah ianya berbuah lebih cepat. Selain itu, mutu buah lebih seragam. Kadar pertumbuhan pokok dan bentuk pokok juga akan lebih kurang sama. Secara tidak langsung akan menyenangkan kerja-kerja pengurusan dan pengawalan.
pembiakan-nangka2
Terdapat tiga cara pembiakan tampang yang boleh digunakan untuk tanaman nangka. Cara yang selalu digunakan ialah cantuman tunas. Dua cara yang lain ialah cantuman baji atas dan cantuman baji sisi.
Di antara ketiga-tiga cara tadi, cantuman baji atas dikatakan memberi keputusan yang memuaskan. Peratus kejayaan dari hasil cantuman didapati paling tinggi jika disbanding jenis cantuman yang lain. Pokok penanti untuk cantuman baji boleh diambil dari benih yang baru berumur satu bulan dan pokok sudah boleh ditanam di ladang selepas 4 bulan.


Penanaman Nangka


Nangka tergulung dalam keluarga Moraceae. Terdapat 60 genus dan lebih 1000 spesies pokok-pokok dari keluarga ini di kawasan tropika. Nangka memupunyai zat tenaga, air, protin, lemak, karbohidrat, gentian, abu, kalsium, fosforus, besi, beta-karotin, vitamin B1, vitamin B2, vitamin C dan niasin.
Pokok nangka adalah sejenis tumbuhan yang mengandungi getah berwarna putih dan boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter serta mempunyai sistem akar tunjang. Anak pokok nangka mempunyai akar tunjang yang mudah tercedera dan boleh menjejaskan kejayaan penanaman di ladang.
Tiga klon kultivar yang disyorkan:-
J 29
Nangka ini berasal dari Sungai Chua, Kajang, Selangor dan didaftarkan pada 8 Februari 1973. Mempunyai buah yang besar dengan berat 10 kg sebiji dan berbentuk bulat. Kulit berwarna hijau kekuningan dan sederhana tebal. Durinya kasar dan jarang. Ulas besar dan banyak dan bijinya besar. Isinya tebal, pejal, manis, berwarna kuning dan bertekstur halus. Jeraminya kurang tetapi kasar dan manis.
J 31
Digelar dengan N.S.I dan didaftarkan pada 30 Mei 1973. Saiz buah besar dan berat buah 10 kg sebiji dan panjang buah 45-55 cm. Buah berbentuk lurus panjang dan kulitnya berwarna hijau, sederhana tebal, banyak getah dan durinya rapat-rapat. Ulasnya sederhana besar dan berbentuk bulat. Isinya berwarna kuning, sederhana tebal tetapi pejal, rasanya manis, berbau kuat, tekstur isinya halus dan banyak jerami. Bijinya kecil.
J 32
Klon J 32 didaftarkan pada November 1997. Bentuk buah bujur panjang, bahu melekuk dan hujung buah bulat. Saiz sederhana besar, berduri padat dan beraroma sedikit. Warna isi kuning oren, tebal, saiz isi besar keras dan pejal tetapi kurang manis serta sedikit berair.
J 33
Sesuai dimakan mentah. Pembiakan secara tampang.

Tiada ulasan: