Isnin, 27 Disember 2010

Dua beranak terbunuh sekembali dari mengambil keputusan PMR

Posted on the December 24th, 2010 under Berita Tempatan by Pinvader
KOTA BARU, 23 Dis — Kegembiraan Siti Aishah Zakaria bertukar tragedi sekelip mata apabila beliau dan ibunya maut ketika pulang mengambil keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) setelah terlibat dalam kemalangan Jalan Kuala Krai-Kota Baharu, di Pekan Kok Lanas, hari ini.
Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Siti Aishah, 15, dan ibunya, Azizah Musa, 42, menaiki motosikal dan berhenti di lampu isyarat, telah dilanggar dengan sebuah lori muatan batu pasir dari simpang kanan, yang gagal keluar simpang jalan lalu terbabas serta melanggar lampu isyarat dan mangsa.
Jurucakap Polis Daerah Kota Baharu berkata, akibat hilang kawalan itu juga, lori berkenaan turut terlanggar tiga buah kenderaan lain, yang berhenti di lampu isyarat dan berada di belakang motosikal mangsa, sebelum lori itu terbalik.


“Dalam pelanggaran itu, Siti Aishah telah diseret oleh lori berkenaan dan tersepit di bawah lori itu apabila ia terbalik, manakala Azizah tercampak dari motosikalnya. Kedua-dua mereka mati di tempat kejadian akibat kecederaan di seluruh anggota badan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Jurucakap polis itu berkata kesemua mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu, termasuk pemandu lori hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik kesihatan berhampiran.
Ayah Aishah, Zakaria Muhamad, 43, pesara tentera berkata anak dan isterinya baru keluar tiga kilometer dari Sekolah Menengah Maahad Shamsul Maarif sebelum terlibat dalam kemalangan itu.
Beliau berkata ketika kejadian itu berlaku, beliau berada di dalam Kem Tentera Desa Pahlawan berniaga sebagai pembekal pakaian seragam sukan dan guru anaknya memaklumkan bahawa Siti Aishah telah memperoleh keputusan 4A, 4B dan 1C dalam PMR.
Katanya, beliau hanya menyedari kejadian itu daripada rakannya melalui telefon pada pukul 1.15 tengah hari dan berkejar ke tempat kejadian.
“Setiba di tempat kejadian saya mendapati mayat isteri saya sudah diangkat manakala mayat anak saya masih berada di bawah tayar lori yang terbalik dan sedang diangkat oleh pasukan penyelamat,” katanya yang kini menjadi pembekal pakaian seragam sukan di Kem Tentera Desa Pahlawan, tidak jauh dari situ.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat. — Bernama

Tiada ulasan: