Jumaat, 4 Disember 2009

KHATAN

Berkhatan sekarang lebih mudah


Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri menunjukkan alat AlisKlamp yang mempunyai pelbagai saiz.


SAAT ini golongan paling gembira sudah pastinya kanak-kanak kerana minggu depan bermulanya cuti panjang penggal akhir persekolahan. Sebahagian besarnya sudah siap dengan jadual aktiviti yang ingin dilakukan termasuk melancong atau balik kampung.
Dalam keseronokan bercuti ada juga sebilangan kanak-kanak lelaki yang sedang dilanda gundah-gulana menanti hari paling mendebarkan dalam hidup mereka - hari untuk berkhatan.
Berkhatan merupakan salah satu tuntutan agama iaitu dengan memotong atau membuang kulit hujung zakar. Biasanya dilakukan ketika usia kanak-kanak masih kecil iaitu antara enam hingga 12 tahun, namun ada juga sesetengah ibu bapa yang mengkhatankan anak lelaki mereka kita masih bayi.
Begitupun berkhatan bukan saja di lakukan oleh lelaki Islam, malah dianggarkan 60 peratus lelaki Amerika Syarikat berkhatan dan 1.25 juta kanak-kanak lelaki telah dikhatankan dalam tempoh setahun di negara itu.
Malah masyarakat Yahudi sendiri telah menjalani proses berkhatan sejak kecil lagi.
Selain memenuhi tuntutan agama, berkhatan juga dikaitkan faktor menjaga kebersihan dan mencegah jangkitan kuman pada alat kelamin.
memudahkan
Sesuai dengan perubahan zaman, pelbagai kaedah moden dicipta bagi memudahkan proses berkhatan.
Terbaru, teknik dari Turki yang dikenali sebagai AliKlamp yang dikatakan mampu mengurangkan kesakitan ketika berkhatan.
Pemilik Eskayvie Sdn. Bhd., iaitu syarikat pengedar tunggal AliKlamp di Malaysia, Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri berkata, alat tersebut merupakan satu kaedah rawatan berkhatan yang cepat dan mudah.
''Teknik tersebut adalah salah satu cara berkhatan yang tidak menyakitkan dan merupakan rawatan selamat bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa.
''Jika dahulu kalau hendak berkhatan macam-macam yang diperlukan, namun dengan teknologi moden yang terdapat di hospital berkhatan jadi lebih mudah dan cepat," katanya.
Tegas Dr. Syid Ayob lagi, selain itu faktor keselamatan juga lebih terjamin berbanding kaedah tradisonal yang terpaksa menunggu masa yang lebih lama untuk sembuh.
Jelasnya lagi, rawatan ini juga mempunyai pelbagai kelebihan berbanding berkhatan secara konvensional.

Berkhatan menjadi saat bersejarah bagi kanak-kanak lelaki


''Antaranya mengurangkan pendarahan, menjadikan pemotongan lebih sempurna serta kadar penyembuhan yang lebih cepat,'' katanya.
Malah, pesakit sendiri tidak perlu menunggu terlalu lama untuk sembuh apabila menggunakan alat AliKlamp.
Direka khusus dengan pelbagai saiz, ia mampu memberi kemudahan kepada pengguna untuk menggunakannya.
''Selain mudah dan senang, teknik ini telus dan kemas dan ia juga mendatangkan kesan yang lebih positif dan efektif,'' katanya.
Bercerita lebih lanjut katanya, AlisKlamp ini mula dicipta oleh dua pakar urologi dari Turki, Dr. Vedat Ali Canoglu dan Dr. Mustafa Demirelli pada tahun 2004.
Pelengkap
''AlisKlamp ini direka khas bagi melengkapkan lagi teknik-teknik klamp yang sedia ada dalam dunia perubatan moden ini,'' kata Dr. Syid Ayob lagi.
Selain mengurangkan pendarahan, teknik AlisKlamp ini juga dapat meminimumkan rasa sakit yang dialami oleh pesakit.
Malah melalui teknik ini juga, tempoh penyembuhan adalah antara tiga hingga lima hari sahaja.
''Selain mudah dan senang, teknik ini lebih telus dan kemas dan ia mendatangkan kesan yang lebih positif dan efektif,'' katanya.
''Hanya dalam tempoh dua atau tiga jam, pesakit boleh berjalan seperti biasa tanpa perlu berehat dengan lama,'' katanya serius.
Diperbuat daripada polikarbonat telus cahaya menjadikan alatan ini lebih mudah dan tahan lama digunakan.

Tiada ulasan: